Sunday, June 8, 2008

Isim Isyarah

بسم الله الرحمن الرحيم

اسم الاشارة
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, maka saya mulakan penulisan ini. Bab yang akan saya huraikan serba sedikit dalam bahagian Nahu ini adalah berkaitan dengan bab Isim Isyarah ( اسم الإشارة ). Sedikit huraian mengenai Isim Isyarah adalah seperti berikut :-

- Isim Isyarah dalam istilah bahasa Melayu nya bolehlah kita maksudkan ia sebagai Kata Tunjuk seperti itu atau ini. Namun ia tetap mempunyai perbezaan dengan Kata Tunjuk yang terdapat di dalam bahasa Melayu.

- Isim Isyarah merupakan salah satu daripada isim-isim yang makrifah ( معرفة ) .

- Isim Isyarah adalah daripada kalangan isim-isim yang mabni ( مبني ). Tidak akan berubah baris dan hurufnya walau di mana sahaja kedudukan i'robnya
( موقع الإعراب ).

Contoh : [ هذا كتاب ] dan [ مررت بهذا الكتاب ]. Walaupun kedudukan i'rob
( هذا ) dalam dua ayat ini berbeza, namun barisnya tetap sama dan tidak berubah.

- Pembahagian Isim Isyarah :

- Isim Isyarah terbahagi kepada dua bahagian besar iaitu yang menunjukkan kepada dekat dan jauh. Pembahagian kecil pula ada empat iaitu :
- Dekat untuk muzakkar ( قريب للمذكر ) :
  • Untuk Mufrod ( مفرد ) ialah ( ذا ).
  • Untuk Musanna ( مثنى ) ialah ( ذان ).
  • Untuk Jamak ( جمع ) ialah ( أولاء ).

- Dekat untuk muannas ( قريب للمؤنث ) :
  • Untuk Mufrod ialah ( ذي ، ذهْ ، ذهِ ، تي ، ته ، تا ، ذات ).
  • Untuk Musanna ialah ( تان ) .
  • Untuk Jamak ialah ( أولاء ).

* Ini adalah di antara isim Isyarah yang menunjuk kepada dekat. Bagi setiap isim ini boleh ditambah ha tanbih ( ها التنبيه ) diawalnya. Contohnya ( هذا ، هذان ).

* Jika kita menggabungkan isim-isim Isyarah yang menunjuk kepada dekat ini dengan huruf kaf ( ك ) di hujungnya, maka asal makna dekat ini akan berubah jaraknya menjadi jauh sedikit atau pertengahan.Contohnya :

- Jauh untuk muzakkar ( بعيد للمذكر ) :
  • Untuk Mufrod ialah ( ذاك ).
  • Untuk Musanna ialah ( ذانك ).
  • Untuk Jamak ialah ( أولاءك ).

- Jauh untuk muannas ( بعيد للمؤنث ) :
  • Untuk Mufrod ialah ( ذيك ، ذهك ، تيك ، تاك ، تهك ).
  • Untuk Musanna ialah ( تانك ).
  • Untuk Jamak ialah ( أولاءك ).

* Jika kita menginginkan makna lebih jauh, maka kita tambahkan huruf lam dan kaf pada isim-isim tersebut. Contohnya : ( ذلك ، تلك ). Akan tetapi ia tidak akan berlaku pada musanna dan jamak kerana kedua-dua tersebut telah pun mempunyai makna lebih jauh apabila digabungkan dengan kaf.

* Apa yang telah saya bawakan di sini adalah penambahan daripada yang biasa kita dengar. Tiada masalah untuk tidak berpegang dengan apa yang telah ditambah di sini jika ia mengelirukan. Tujuan saya membentangkan perkara ini adalah untuk sekadar pengenalan dan pemberitahuan bahawa terdapat banyak lagi isim isyarah yang masih lagi jarang kita dengar. Namun sudah memadai dengan berpegang kepada asas yang kita pelajari ketika di sekolah dahulu iaitu 8 asas utama Isim Isyarah : (هذا ، هذه ، ذلك ، تلك ، ذانك ، تانك ، هولاء ، أولاءك ).

والله أعلم

disediakan oleh : Muhammad Hosnee bin Zainal Abidin

0 comments: