Sunday, October 12, 2008

Rofa’ (رفع) dan alamat- alamatnya

بسم الله الرحمن الرحيم

Rofa’ (رفع) dan alamat- alamatnya.

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه وسلم ، أما بعد ؛

Rofa’ adalah salah satu bahagian di dalam Irob. Adik beradik rofa’ adalah nasob, jar dan jazam. InsyaAllah, minggu ni saya akan menceritakan serba sedikit tentang rofa’ dan alamat-alamatnya. Peneranganya seperti berikut :-

· Rofa’ boleh dikatakan bahagian paling famous dalam I’rob. Hampir kebanyakan mauqi’ I’rob dii’robkan dengan rofa’.
(موقع اعراب = kedudukan I’rob seperti mubtada’, mafu’l, tamyiz dll)

· Perkara-perkara yang dirofa’kan dinamakan sebagai marfua’at (المرفوعات). Antaranya adalah :-
§ Mukbtada’
§ Khobar
§ Fai’l
§ Naib fa’il
§ Isim kana
§ Khobar inna
§ Tawabi’ yang empat – na’at, taukid, badal, a’tof

· Rofa’ juga terdapat pada Feel mudhori’ iaitu jika ianya sunyi daripada nawasib dan jawazim dan ketika afa’l khomsah.
(afa’l khomsah = يفعلان ، يفعلون ، تفعلان ، تفعلون ، تفعلين)

· Rofa’ ada empat alamat iaitu
- dommah = baris depan.
- Alif (ا)
- Wau (و)
- Subut nun (ن)

· Dommah pada 4 tempat iaitu pada isim mufrod, jamak taksir, jamak muannas salim, dan feel mudhori’ yang sunyi dari nawasib dan jawazim.
(nawasib = أن ، لن ، إذن ، كي)
(jawazim = لم ، لما ، لام الطلب ، لا النهي)

· Alif pada isim musanna (yang menunjukkan bilangan 2)

· Wau pada 2 tempat iaitu pada jamak muzakkar salim dan pada asmaul khomsah.
(asmaul khomsah = أبوك ، أخوك ، حموك ، فوك ، ذو مال)

· Subut nun pada afa’l khomsah. Yang dimaksudkan dengan subut nun adalah wujud nun dan jelas kehadirannya.
(afa’l khomsah = يفعلان ، يفعلون ، تفعلان ، تفعلون ، تفعلين)

Sekian sahaja daripada saya, insyaAllah akan ditambahkan lagi pada masa akan datang.


والله أعلم

Disediakan oleh,
Abul hasan Muhammad Hosnee b Zainal Abidin

Monday, September 22, 2008

Fe'el Mudhori'

بسم الله الرحمن الرحيم

الفعل المضارع

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه أجمعين ، أما بعد ؛

Pada tutorial yang lepas, telah diterangkan serba ringkas tentang feel madhi. Jadi saya teruskan dengan feel mudhori’ pula. Penerangannya seperti berikut :-
- Secara mudahnya, boleh kita katakana bahawa feel mudhori’ ini adalah perbuatan yang sedang dilakukan atau yang menunjukkan akan dilakukan. Di dalam grammar bahasa Inggeris boleh disimpulkan sebagai gabungan present tense dan future tense.

- Namun begitu, bukanlah maknanya itu terkumpul di antara keduanya di dalam satu keadaan, akan tetapi didatangkan maknanya (samada sedang@akan berlaku) mengikut situasi perbuatan tersebut. Jadi, untuk menterjemahkan makna feel mudhori’ ini bukan semudah feel madhi, ia perlu diteliti terlebih dahulu.

- Ada pendapat daripada sebahagian ahli Nahu mengatakan, jika feel mudhori’ itu kosong daripada tanda-tanda yang menunjukkan kepada “akan berlaku ” seperti (س @ سوف), maka makna yang layak baginya adalah “sedang berlaku”.

- Feel mudhori’ adalah mu’rob kecuali datang dua perkara yang akan menyebabkan ia bertukar menjadi mabni. Dua perkara tersebut ialah nun niswah (nun jama’ bagi muannas) dan nun taukid (nun yang bertujuan membawa makna taukid). Jika feel mudhori’ digabungkan dengan dua nun ini makanya secara terus ia akan bertukar taraf menjadi mabni. Contoh :-
يضربْنَ = feel mudhori’ yang digabungkan dengan nun niswah bagi wazan يفعلـْنَ .
Kita I’robkan ia dengan mabni :
فعل مضارع مبني على السكون لاتصاله بنون النسوة
يضربنْ
= feel mudhori’ yang dgabungkan dengan nun taukid yang asalnya يضرب + ن .
Turut dii’robkan dengan mabni :
فعل مضارع مبني على الفتح لاتصاله بنون التوكيد


والله أعلم

Disediakan oleh,
Muhammad Hosnee B Zainal Abidin

Tuesday, August 5, 2008

Feel Madhi

بسم الله الرحمن الرحيم

الفعل الماضي

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, maka saya mulakan penulisan ini. Minggu ini saya akan menceritakan serba sedikit tentang feel. Seperti mana yang kita tahu, feel adalah kata perbuatan@verb. Di dalam nahu bahasa arab, jika dinisbahkan kepada zaman@waktu, maka feel akan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu feel madhi (الفعل الماضي) ,feel mudhori' (الفعل المضارع) ,feel amar (الفعل الأمر). Secara mudahnya, saya ringkaskan yang madhi = masa lepas, mudhori' = sekarang@akan datang, amar = arahan (menunjukkan masa akan datang). InsyaAllah saya akan menceritakan mengenai feel-feel ini satu persatu. Pada perbahasan minggu ini, saya akan memberi pengenalan mengenai feel madhi terlebih dahulu. Penerangannya seperti berikut :-


- Feel madhi secara mudahnya boleh kita katakan sebagai perbuatan yang telah berlaku. Dalam grammar bahasa Inggeris samalah ia dengan past tense.

- Namun begitu, ada sedikit penambahan yang telah diletakkan di dalam kitab Al-Wafi syarah matan Al-Ajurumiyah mengenai feel madhi. Ulama' yang mensyarahkan matan tersebut menyatakan bahawa feel madhi kadang-kadang digunakan untuk menunjukkan masa akan datang. ِ
Contoh :((ونفخ في الصور)) surah الزمر ayat 68.
Dalam ayat ini perkataan نفخ dibina di atas acuan(وزن) feel madhi tapi penggunaannya di dalam ayat menunjukkan perkara yang akan berlaku. Jika kita teliti maknanya "dan sangkakala pun ditiup.." kita ketahui yang kejadian tiupan sangkakala belum lagi berlaku, jadi ayat ini menjadi bukti kepada kita bahawasanya feel madhi juga kadang-kadang boleh dimaknakan dengan zaman yang akan datang.

Akan tetapi tetap makna yang utama bagi feel madhi adalah perbuatan yang telah berlaku.

- Dari sudut i'rob, feel madhi adalah mabni(مبني).
Contoh : كتب محمد
كتب = فعل ماض مبني على الفتح
محمد = فاعل مرفوع وعلامة رفعه ضمة ظاهرة في آخره


Disediakan oleh,
Muhammad Hosnee B Zainal Abidin

Wednesday, July 30, 2008

Tasrif feel Madi

بسم الله الرحمن الرحيم

تصريف فعل الماضي

هو فعل / كتب
هما فعلا / كتبا
هم فعلوا / كتبوا
هي فعلتْ / كتبتْ
هما فعلتا / كتبتا
هن فعلن / كتبن
أنتَ فعلتَ / كتبتَ
أنتما فعلتما / كتبتما
أنتم فعلتم / كتبتم
أنتِ فعلتِ / كتبتِ
أنتما فعلتما / كتبتما
أنتن فعلتن / كتبتن
أنا فعلتُ / كتبتُ
نحن فعلنا / كتبن
Disediakan oleh,
Muhammad Hosnee B Zainal Abidin

Sunday, July 20, 2008

Huruf Jar Bahagian 3

Bahagian 3

*في
-الظرفية iaitu tempat atau arah
م : (( في أدنى الأرض وهم من بعد غلبهم سيغلبون )) الروم 3
maksudnya : di negeri yang terdekat dan mereka setelah kekalahannya itu akan menang.

-المصاحبة iaitu beiringan
م : (( ادخلوا في أمم )) الأعراف 38
maksudnya : masuklah kamu (kedalam api neraka) bersama jin dan manusia...

-التعليل iaitu sebab
م : دخلت امرأة النار في هرة - الحديث
maksudnya : telah masuk perempuan itu kedalam api neraka disebabkan seekor kucing.

*الباء
- التعليل iaitu sebab
م : (( فكلا أخذنا بذنبه )) العنكبوت 40
maksudnya : maka masing-masing mereka itu Kami azabkan kerana dosa-dosanya.

- المصاحبة
م : (( اهبط بسلام منّا وبركات )) هود 48
maksudnya : turunlah dengan beriringan kesejahteraan dan keberkatan dari Kami.

- الظرفية
م : (( ولقد نصركم الله ببدر )) آل عمران 123
maksudnya : dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam perang badar.

- makna (عن)
م : (( فاسئل به خبيرا )) الفرقان 59
maksudnya : maka tanyakanlah tentang Nya kepada orang yang lebih mengetahui (Muhammad).

*الكاف
- التشبيه iaitu seumpama/seperti
م : (( فكانت وردة كالدهان )) الرحمن 37
maksudnya : dan menjadi merah mawar seperti kilauan minyak.

- التعليل
م : (( واذكروه كما هداكم )) البقرة 198
maksudnya : dan berzikirlah kepadaNya disebabkan hidayah yang telah diberikan kepada kamu.

- التوكيد iaitu penetapan/peneguhan/pengukuhan
م : (( ليس كمثله شيء )) الشورى 11
maksudnya : dengan pastinya tiada satu pun yang menyerupainya.
# mestilah kaf itu adalah kaf zaidah (الزائدة)

- المبادرة iaitu bersegera
م : صلّ كما يدخل الوقت
maksudnya : bersegeralah untuk solat apabila masuk waktu.
# disyaratkan kaf digabungkan dengan ما .
*اللام
- الملك iaitu hak milik/ pemilikan
م : (( لله ما في السماوات والأرض )) لقمان 26
maksudnya : milik Allah apa yang ada di langit dan di bumi.
# disyaratkan bahawa lam dimasukkan antara dua zat. Iaitu dua perkara/benda yang jelas wujud. Dan lam diapitkan kepada perkara yang boleh menjadi pemilik.
Untuk pemahaman lebih, saya bawakan contoh lain : الدار لمحمد
(الدار) satu zat, (محمد) satu zat. Jika kita bandingkan, kita akan dapati bahawa محمد boleh menjadi pemilik kepada الدار maka kita apitkan/hubungkan lam kepada محمد dan jadilah makna lam itu sebagai "milik".

- الإختصاص iaitu pengkhususan
م : الحمد لله
maksudnya : segala puji khusus untuk Allah.
# disyaratkan di sini lam hanya masuk di antara zat dan makna. "Makna" di sini bolehlah kita definisikan sebagai sifat untuk memudahkan pemahaman. Contoh lain sebagai penerangan : النجاح للمجتهدين
(النجاح) satu makna/sifat, (المجتهدين) satu zat. Boleh kita fahami di sini bahwa المجتهدين merupakan satu zat yang berhak untuk menerima makna النجاح. Jadi dengan menyelitkan lam di antara keduanya maka makna النجاح itu dikhususkan kepada المجتهدين dan bertukarlah lam di sini menjadi makna "khusus".


Demikianlah sedikit penerangan dari saya. Perlu diketahui di sini bahawasanya apa yang saya bawakan di sini hanya sebahagian kecil sahaja daripada apa yang terdapat di dalam kitab-kitab nahu. Jadi untuk rujukan, sahabat-sahabat bolehlah merujuk kepada mana-mana kitab nahu yang ada. Setakat ini sahaja perbahasan ringkas yang mampu saya sediakan untuk bab ini. Insya Allah, jikalau ada kesempatan dan kemampuan akan saya bawakan lagi perbahasan yang lebih mendalam. Doa-doakanlah moga saya diberi kemampuan. Amin.
والله أعلم



Disediakan oleh,
Muhammad Hosnee B Zainal Abidin

Friday, July 4, 2008

Huruf Jar Bahagian 2

بسم الله الرحمن الرحيم

Huruf Jar Bahagian 2

- Makna-makna yang boleh kita berikan kepada 8 huruf-huruf jar :-

* من
-الابتداء iaitu permulaan sama ada pada tempat (لغاية المكانية) atau zaman (لغاية الزمانية)
م : سافرت من القاهرة
maksudnya : aku telah bermusafir bermula dari Kaherah.
م : سافرت من الجمعة إلى الجمعة
maksudnya : aku telah bermusafir bermula dari hari Jumaat hingga ke hari Jumaat seterusnya.

- التبعيض iaitu sebahagian
م : منهم يأكلون ومنهم يشربون
maksudnya : sebahagian daripada mereka sedang makan dan sebahagian lainnya sedang minum.

-البدل iaitu ganti
م : (( أرضيتم بالحياة الدنيا من الآخرة )) سورة التوبة 38
maksudnya : apakah kamu menyenangi kehidupan dunia menggantikan kehidupan akhirat

*إلى
- الإنتهاء iaitu sehingga sama ada pada zaman atau pada tempat.
م : (( ثم اتموا الصيام الى الليل )) البقرة 187
maksudnya : kemudian sempurnakanlah puasa sehingga datang malam.
م : (( من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصا )) الإسراء 1

# perbahasan mengenai (إلى) - dari sudut makna الانتهاء, boleh jadi 2 kemungkinan iaitu harus إلى masuk ke dalam perkara tersebut, atau harus ia tidak masuk dalam perkara tersebut.

1) Saya bawakan satu ayat iaitu :- سافرت من البيت إلى المسجد .Makna ayat ini boleh jadi 2 - makna pertama : aku telah bermusafir dari rumah hingga ke (pintu pagar) masjid. atau makna kedua : aku telah bermusafir dari rumah hingga ke (kawasan dalam masjid). Beza makna pertama dan kedua adalah masuk ke dalam masjid dan tidak masuk ke dalam masjid iaitu sekadar berhenti di pintu pagar masjid tanpa masuk ke dalamnya.

2) Ayat yang menceritakan tentang wuduk dalam surah al-Maidah:6 :- ((وأيديكم إلى المرافق)) maksud إلى di sini adalah masuk sehingga ke dalam perkara tersebut. Anggota tangan ketika wuduk, dibasuh sehingga kena kepada siku. Jika kita membasuh tidak sampai kepada siku maka tidak sah wuduk tersebut kerana إلى di sini membawa maksud masuk sehingga ke dalam perkara tersebut.

3) Satu lagi contoh iaitu dalam ayat yang menceritakan tentang tempoh waktu berpuasa dalam surah al-Baqarah:187 :- (الى الليل) = makna (إلى) di sini tidak masuk kepada perkara tersebut iaitu bukan makna ayat ini sehingga waktu malam, tetapi hanya berhenti pada waktu maghrib - sebelum datang malam - Maknanya, kita berpuasa bukan sehingga waktu malam tapi berpuasa sehingga selesai waktu siang.


*عن
- المجاوزة iaitu menjauhi (البُعدُ)
م : رميت السهم عن القوس
maksudnya : aku telah melontar anak panah itu menjauhi daripada busur.

- البدل
م : (( واتقوا يوما لا تجزي نفس عن نفس شيئًا )) البقرة 48
maksudnya : Dan takutlah kamu pada hari , ketika itu tiada seorang pun dapat menggantikan (membela) seorang yang lain walaupun sedikit.

- على iaitu atas/ke atas
م : (( ومن يبخل فإنما يبخل عن نفسه )) محمد 38
Maksudnya : Barang siapa yang bakhil, maka sesungguhnya dia bakhil ke atas dirinya sendiri.

- التعليل iaitu sebab/alasan
م : (( وما كان استغفار إبراهيم لأبيه إلا عن موعدة وعدها إياه )) التوبة 114
maksudnya : Adapun permohonan keampunan Ibrahim kepada Allah untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkan kepada bapanya.

*على
- الاستعلاء iaitu atas/ ke atas sama ada secara hissi (الخسي) atau maknawi (المعنوي).
م : (( وعليها وعلى الفلك تحملون )) المؤمنون 22
maksudnya : Dan ke atasnya (haiwan-haiwan ternak), dan di atas kapal-kapal kamu diangkut.
م : (( فضلنا بعضهم على بعص )) البقرة 253
maksudnya : Kami lebihkan sebahagian mereka ke atas sebahagian yang lain.

- المصاحبة seperti makna (مع)
م : (( وءاتى المال على حبه )) البقرة 177
maksudnya : dan memberikan harta yang dicintainya.

- makna (مِن)
م : (( إذا اكتالوا على الناس يستوفون )) المطففين 2
maksudnya : iaitu orang yang menerima timbangan dari orang lain, mereka minta untuk dicukupkan.

Bersambung..

Disediakan oleh :-
Muhammad Hosnee b Zainal Abidin

Huruf Jar

بسم الله الرحمن الرحيم

حرف الجر (Bahagian Pertama)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Pengasih, maka saya mulakan penulisan ini. Pada bab kali ini saya akan membawa sedikit perbahasan mengenai huruf jar. Bab huruf jar merupakan satu bab yang boleh dikatakan panjang perbincangannya. Ini kerana (huruf) di sisi ulama nahu tidak mempunyai makna yang tersendiri, jadi huraian mengenai makna bagi huruf-huruf ini bukan satu perkara yang ringkas. Makna bagi setiap huruf ini akan berubah-ubah mengikut kedudukannya dan dipengaruhi oleh perkara yang berada di sebelumnya atau di selepasnya. Saya belum lagi bersedia dalam membahaskan bab ini secara panjang lebar, namun saya cuba dalam memberi penerangan serba sedikit mengenai huruf jar sebagai pengenalan bagi kita :-

- Nama lain bagi huruf jar adalah huruf khofad (حرف الخفض)

- Disebut di dalam kitab جامع الدروس العربية ada 20 huruf jar kesemuanya namun yang masyhur bagi kita ada 8 iaitu من ، إلى ، عن ، على ، في ، رب ،الباء ، الكاف ، اللام. Dan penerangan ringkas saya hanya berlegar di sekitar 8 huruf ini sahaja.

- Adapun huruf jar ini dihukumkan sebagai mabni (iaitu kekal baris akhirnya) dan bukannya mu'rob (iaitu yang berubah baris akhir).

- Huruf jar hanya boleh dimasukkan kepada isim. Namun ada sesetengah keadaan kita lihat huruf jar bergabung dengan fe'el. Dalam keadaan ini nampak pada zohirnya sahaja, dari segi taqdirnya berbeza sama sekali. InsyaAllah, akan ada perbahasannya pada masa akan datang.

- Dinamakan ia sebagai huruf jar kerana huruf-huruf ini meng"jar"kan isim yang selepasnya dan isim tersebut kita i'robkan ia sebagai isim majrur.

Contoh : في البيت
- في = حرف جر مبني على السكون
- البيت = مجرور بـ"في" و علامة جره كسرة ظاهرة في آخره


- Makna-makna yang boleh kita berikan kepada 8 huruf-huruf jar :-

* من
-الابتداء iaitu permulaan sama ada pada zaman (لغاية الزمانية) atau tempat (لغاية المكانية)
م : سافرت من القاهرة
maksudnya : aku telah bermusafir bermula dari Kaherah.

- التبعيض iaitu sebahagian
م : منهم يأكلون ومنهم يشربون

-البدل iaitu ganti

#InsyaAllah akan saya sambung perbahasan 7 huruf seterusnya pada sambungan yang akan datang.

Disediakan oleh :
Muhammad Hosnee bin Zainal Abidin

Tuesday, June 17, 2008

Isim Mausul

بسم الله الرحمن الرحيم

اسم الموصول

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, maka saya mulakan penulisan ini. Bab yang akan saya bentangkan serba sedikit pada kali ini adalah bab yang berkenaan dengan Isim Mausul. Sedikit huraian yang saya bawa di sini adalah seperti berikut :-

- Isim Mausul adalah daripada isim-isim yang ma'rifah ( معرفة ) .

- Maksud isim mausul di dalam bahasa Melayu boleh kita maknakan ia sebagai " yang ".

Contoh : yang bermain = الذي يلعب

- Isim Mausul memerlukan kepada 2 perkara iaitu (1) Silah { صلة } dan (2) 'Aid { عائد }.
- Silah itu adalah ayat (جملة) yang berada selepas isim mausul.
- Manakala 'Aid adalah penghubung antara silah dan isim mausul yang
kembali pada isim mausul.

Contoh : جاءني الذي ضربته
- Silah = ضربت
- 'Aid = ـه

- Adapun Isim Mausul itu terbahagi kepada dua bahagian :
- (1) خاصة dan (2) مشتركة
(1) خاصة
- bagi muzakkar = الذي
- bagi muannas = التي
- bagi musanna muzakkar
= اللذان ketika rofa' (رفع).
= اللذين ketika nasob (نصب) dan jar (جر).
- bagi musanna muannas
= اللتان ketika rofa'.
= اللتين ketika nasob dan jar.
- bagi jamak muzakkar = الألى dan الذين
- bagi jamak muannas = اللائى dan اللاتي

(2) مشتركة
- مَن - ما - أي
- أل - ذو - ذا
Keenam2 huruf ini merangkumi makna mufrod, musanna dan jamak.
Begitu juga dari sudut muzakkar muannansnya.
Tidak ada pengkhususan bagi setiap satunya.

Contoh :
- من :
يعجبني من جاءك @ من جائتك
#ًمن di sini boleh digunakan untuk menunjukkan makna muzakkar mahupun muannas

- ما :
يعجبني ما اشتريته @ ما اشتريتهما @ ما اشتريتهم
# ما di sini boleh menunjukkan makna mufrod, musanna dan jamak


* Sedikit perbezaan أل dengan saudaranya yang lain yang mana أل disyaratkan hanya dimasukkan kepada وصف صريخ .

Dimaksudkan وصف di sini hanya 3 iaitu isim fa'il ( اسم الفاعل ) , isim maf'ul ( اسم المفعول ) dan sifah mushabbahah ( الصفة المشبهة ). Jika أل ini masuk kepada selain dari pada 3 perkara ini maka ianya bukanlah daripada kalangan isim mausul, malah ia adalah daripada ال yang mema'rifahkan isim.

* ذو hanya digunakan sebagai isim mausul mengikut pendapat bani toyyik (طيىء) iaitu salah satu kaum yang terdapat di bumi arab.

* Untuk menjadikan ذا sebagai isim mausul ia perlu didahului dengan ما الإستفهامية atau من الإستفهامية .

Contoh : ماذا أنزل ربكم ؟ dan من ذا قالها ؟

- Bercerita tentang Silah mausul, ia terbahagi kepada 2 bahagian besar iaitu jumlah ( الجملة ) dan syihib jumlah ( شبه الجملة ).

*Jumlah pula terbahagi kepada 2 iaitu jumlah ismiyah dan jumlah fi'liyyah dan ia mempunyai 2 syarah iaitu :

- Mestilah ia daripada jumlah خبرية iaitu jumlah yang berkemungkinan mengandungi makna benar ( صدق ) atau palsu ( كذب ). Jika jumlah tersebut merupakan jumlah إنشائية maka tidak sah ia dianggap silah mausul.

- Mestilah jumlah tersebut dihubungkan dengan Domir yang bersesuaian dengan keadaan mausul. Sama ada sesuai dari sudut mufrodnya, atau jamaknya, atau muannasnya atau apa sahaja.

Contoh : جاء الذي أكرمته = domir ـه di sini bersesuaian dengan الذي pada mufrod muzakkar

# Dan kadang-kadang ada terjadi pada sesetengah keadaan yang mana domir pada jumlah tersebut dihazafkan. Maknanya di sini jumlah tersebut masih dianggap sebagai Silah mausul walaupun tiada domir tadi secara zohir dan hanya wujud secara tersembunyi ( مضمر ).

*Habis bercerita mengenai jumlah maka terus masuk kepada syibih jumlah. Syibih jumlah ini terbahagi kepada 3 perkara iaitu :
(1) Zorof [ الظرف ]
(2) Jar Majrur [ جر مجرور ]
(3) Sifah Sorihah [ الصفة الصريحة ]

Disyaratkan pada Zorof dan Jar Majrur mestilah jumlah yang sempurna ( تام ). Tidak boleh dianggap sebagai Silah mausul jika mana maknanya tidak sempurna.
Contoh : جاء الذي أمس => ayat ini masih tidak sempurna maknanya disebabkan makna yang terdapat pada zorof itu masih kabur, jadi ia tidak boleh dianggap sebagai silah mausul.

Akan tetapi jika mana Zorof dan Jar Majrur itu tadi berkaitan ( متعلقة ) dengan fe'el mahzuf استقر dan domir mustatir yang tersembunyi di dalam fe'el tersebut kembali kepada 2 perkara itu, maka sah syibih jumlah itu dianggap sebagai Silah mausul.

Contoh : جاء الذي أمس => sah أمس dianggap silah mausul jika takdirnya :
جاء الذي استقر أمس


Disediakan oleh
Muhammad Hosnee b Zainal Abidin

Saturday, June 14, 2008

Sekilas Perkembangan Ilmu Bahasa Arab

Ilmu bahasa terdiri dari beberapa ilmu, di antaranya ilmu Nawu, ilmu Saraf, Balaghah, ilmu bahasa dan ilmu ‘Arudh.

a. Ilmu Nawu dan Saraf

Pada mulanya bahasa Arab dapat bertahan dengan kuat terhadap kemunduran yang mulai terasa pada akhir-akhir zaman Bani Umayyah, karana tampuk pemerintahannya, seperti jawatan panglima-panglima, gabenor-gabenor dan kedudukan penting lainnya masih dipegang oleh orang Arab, yang bahasanya tetap bahasa (fasih) murni dan bermutu, tambahan pula mereka sangat fanatic terhadap bangsa dan bahasanya.

Dimasa itu seseorang pemimpin yang menyimpang dari tata bahasa yang fasih walaupun sedikit saja sudah dianggap rendah dan hina. Tiap-tiap pemimpin, baik dia pemimpin politik mahupun pemimpin perang atau pemimpin sosial, semenjak dari khalifah sampai kepala daerah, adalah orang-orang yang ahli dalam bahasa, cakap berpidato dan dapat mengeritik qasidah-qasidah yang diucapkan dihadapannya. Kefasihan dan ketinggian mutu bahasa ini bukan saja dimiliki oleh para pemimpin, tetapi juga dimiliki umumnya bangsa Arab, karana perasaan bangga terhadap keturunan dan nasab serta perasaan bahwa mereka adalah golongan yang tertinggi dan teristimewa, semangat mendalam dalam jiwa mereka (meskipun prinsip ini bertentangan dengan agama Islam) sehingga mereka enggan bergaul dengan orang yang bukan bangsa Arab dan merasa rerndah bila ikut bekerja bersama-sama orang ‘ajam (bukan orang Arab) itu.

Di antara orang-orang Arab itu jarang sekali yang mau bertani, bertukang, beternak dan sebagainya. Dengan demikian bahasa Arab dapat terjaga kemurniannya, karana percakapan-percakapan di antara orang-orang Arab tidak dapat dipengaruhi oleh kelemahan dan kekurangan mutu bahasa yang dipakai sehari-hari orang ‘ajam itu. Tetapi kerana berdirinya kerajaan Bani Abbas boleh dikatakan atas bantuan dan sokongan orang-orang Persia, terutama atas bantuan Abu Muslim Al-Khurasani, maka sebagai membalas jasa, maka diserahkanlah kepada mereka beberapa jabatan yang penting dalam Negara. Dan dengan beransur-ansur bertambah banyaklah di antara mereka yang menduduki posisi-posisi yang tinggi seperti gabenor, panglima dan menteri.

Makin lama maka bertambah (kukuh) kedudukan mereka, dan dengan sendirinya bertambah turun kedudukan orang Arab. Akhirnya tidak sampai satu abad semenjak berdirinya kerajaan Bani Abbas, semua kedudukan yang penting, kecuali pangkat khalifah telah dipegang orang Persia. Oleh kerana orang yang memegang kekuasaan bukan orang Arab lagi, maka hilanglah perasaan bangga terhadap nasab dan keturunan, atau perasaan bahwa mereka adalah golongan yang tinggi dan mulia. Kalau dulu mereka enggan bekerja sebagai petani, peternak dan tukang, sekarang mereka telah memasuki semua lapangan, bahkan banyak di antara wanita-wanita Arab yang kawin dengan peranakan Arab-Persia, bahkan ada yang kawin dengan orang Persia sendiri.

Dengan ber-asimilasinya orang-orang Arab kedalam masyarakat orang Persia mulailah bahasa Arab mengalami kemunduran. Apalagi pemimpin-pemimpin yang berkuasa bukan orang Arab. Sehingga timbullah suatu bahasa pasar yang tidak dapat dianggap sebagai bahasa Arab yang murni, seperti yang terjadi di Mesir dan Damaskus, tetapi yang paling hebat adalah kemunduran bahasa Arab di Persia.

Hal ini menimbulkan kesadaran para ulama dan ahli bahasa Arab, sehingga mereka bangun serentak untuk mempertahankan bahasa Arab dari keruntuhannya. Dengan rusaknya bahasa Arab tentu tidak akan ada lagi yang dapat memahami Al-Qur’an Al-Karim, sedangkan Al-Qur’an itu adalah kitab suci yang harus selalu dipelihara dan diselidiki isi dan maknanya. Kerana itu mereka merasa, bahwa diatas pundak merekalah terletak kewajiban untuk memelihara Al-Qur’an dengan jalan mempertahankan kemurnian bahasa Arab.

Untuk itu mereka telah mengarang ilmu Nahu (tatabahasa Arab) agar bahasa Arab itu dapat dipelajari dengan baik oleh umat yang tidak berbahasa Arab, sehingga mereka terhindar dari kesalah-kesalahan pengucapan dan dapat membaca dengan fasih.

Ilmu ini telah dirintis penyusunannya, mula-mula oleh Abul Aswad Ad-Duali, atas nasihat Ali bin Abi Thalib. Kemudian ilmu ia diperkembangkan di Bashrah dan menjadi luas pembahasannya, sehingga banyak ulama dan ahli-ahli bahasa yang mengarang kitab-kitab nahu itu, adalah Abu Ishaq Al-Hadhrami yang wafat tahun 117 H., Isa bin Umar yang wafat tahun 149 H. pengarang kitab Al Jaami’ dan Al Ikmal: Al Khalil bin Ahmad, Sibawaihi, Abu Amir bin Al-‘Ala’ yang wafat tahun 154 H. dan Al-Ahfasy, murid Sibawaihi, ilmu Nahu ini berkembang pula di Kufah yang dipelopori oleh Mu’adz Al-Harra’, Abu ja’far Ar-Ruasi dan kedua murid-muridnya Al-Kisai dan Al-Farra’, sehingga terjadilah dua aliran dalam ilmu Nahu ini, yaitu aliran Bashrah dan aliran Kufah. Akhirnya kedua aliran ini bertemu di Baghdad, pusar pemerintahan Abbasiyah- masing-masing dibahaskan oleh Ibnu Qutaibah dan Hanifah Al-Dinauri.

b. Balaghah

Mereka menyusun pula ilmu Balaghah yang mencakup ilmu Bayan, Ma’ani dan Badi’ untuk menjelaskan keistimewaan dan keindahan susunan bahasa dan segi-segi I’jaz Al Qur’an. Ilmu ini disusun setelah selesai mengarang Nahu dan Saraf.

Kitab yang mula-mula dikarang dalam ilmu Bayan ialah kitab Majazul Qur’an oleh Ubaidah, murid Al-Khalil. Kemudian disusul oleh beberapa ulama. Dalam kitab Al Ma’ani, kitab I’jaazul Qur’an yang dikarang oleh Al-Jahizh dan dalam ilmu Badi’ kitab yang dikarang oleh Ibnu Mu’taz dan Qudamah bin Ja’far. Kemudian berturut-turut ulama mengarang pelbagai kitab dalam ilmu Balaghah ini sampai muncullah seorang ahli Balaghah yang termasyhur yaitu Abul Qadir Al-Jurjani yang mengarang kitab Dalailil I’jaz dalam ilmu Ma’ani dan kitab Asrarul Balaghah dalam ilmu Bayan dan As-sakkaki yang mengarang kitab Miftahul Ulum yang mencakup segala masalah dalam ilmu Balaghah.

c. Ilmu Bahasa

Untuk memelihara pengertian kata-kata dalam Al-Qur’an mereka mengarang kamus bahasa Arab. Pada mulanya kamus-kamus ini hanya merupakan kitab-kitab kecil yang mengupas berbagai-bagai kata, seperti kata-kata yang berhubungan dengan manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan benda-benda. Kemudian muncullah Al-Khalil yang mengumpulkan kata-kata bahasa Arab dalam suatu kitab dan menyusunnya berdasar huruf-huruf yang dimulai dengan huruf ‘ain, kerana itu kitab ini disebut Kitabul ‘ain. Barulah kemudian dikarang kamus yang tersusun menurut huruf hijaiyah oleh Abu Bakar bin Duraid yang dinamakan Al Jamharah. Lalu timbullah pelbagai kamus yang dikarang ahli-ahli bahasa, di antaranya: Asd-Shihah yang dikarang oleh Al Jauhari, Al-Muhkam yang dikarang oleh Ibnu Syayidih, Al-Muhith yang dikarang oleh Ash Shahib bin ‘Ibad, An-Nihayah oleh Ibnu Atsir, Lisanul Arab oleh Ibnu Muqarran dan lain-lain.

Dicarikan dari berbagi sumber.

Disedikan oleh : Muhd Faa"iz Bin Safei@Suhaimi

Sunday, June 8, 2008

Isim Isyarah

بسم الله الرحمن الرحيم

اسم الاشارة
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, maka saya mulakan penulisan ini. Bab yang akan saya huraikan serba sedikit dalam bahagian Nahu ini adalah berkaitan dengan bab Isim Isyarah ( اسم الإشارة ). Sedikit huraian mengenai Isim Isyarah adalah seperti berikut :-

- Isim Isyarah dalam istilah bahasa Melayu nya bolehlah kita maksudkan ia sebagai Kata Tunjuk seperti itu atau ini. Namun ia tetap mempunyai perbezaan dengan Kata Tunjuk yang terdapat di dalam bahasa Melayu.

- Isim Isyarah merupakan salah satu daripada isim-isim yang makrifah ( معرفة ) .

- Isim Isyarah adalah daripada kalangan isim-isim yang mabni ( مبني ). Tidak akan berubah baris dan hurufnya walau di mana sahaja kedudukan i'robnya
( موقع الإعراب ).

Contoh : [ هذا كتاب ] dan [ مررت بهذا الكتاب ]. Walaupun kedudukan i'rob
( هذا ) dalam dua ayat ini berbeza, namun barisnya tetap sama dan tidak berubah.

- Pembahagian Isim Isyarah :

- Isim Isyarah terbahagi kepada dua bahagian besar iaitu yang menunjukkan kepada dekat dan jauh. Pembahagian kecil pula ada empat iaitu :
- Dekat untuk muzakkar ( قريب للمذكر ) :
  • Untuk Mufrod ( مفرد ) ialah ( ذا ).
  • Untuk Musanna ( مثنى ) ialah ( ذان ).
  • Untuk Jamak ( جمع ) ialah ( أولاء ).

- Dekat untuk muannas ( قريب للمؤنث ) :
  • Untuk Mufrod ialah ( ذي ، ذهْ ، ذهِ ، تي ، ته ، تا ، ذات ).
  • Untuk Musanna ialah ( تان ) .
  • Untuk Jamak ialah ( أولاء ).

* Ini adalah di antara isim Isyarah yang menunjuk kepada dekat. Bagi setiap isim ini boleh ditambah ha tanbih ( ها التنبيه ) diawalnya. Contohnya ( هذا ، هذان ).

* Jika kita menggabungkan isim-isim Isyarah yang menunjuk kepada dekat ini dengan huruf kaf ( ك ) di hujungnya, maka asal makna dekat ini akan berubah jaraknya menjadi jauh sedikit atau pertengahan.Contohnya :

- Jauh untuk muzakkar ( بعيد للمذكر ) :
  • Untuk Mufrod ialah ( ذاك ).
  • Untuk Musanna ialah ( ذانك ).
  • Untuk Jamak ialah ( أولاءك ).

- Jauh untuk muannas ( بعيد للمؤنث ) :
  • Untuk Mufrod ialah ( ذيك ، ذهك ، تيك ، تاك ، تهك ).
  • Untuk Musanna ialah ( تانك ).
  • Untuk Jamak ialah ( أولاءك ).

* Jika kita menginginkan makna lebih jauh, maka kita tambahkan huruf lam dan kaf pada isim-isim tersebut. Contohnya : ( ذلك ، تلك ). Akan tetapi ia tidak akan berlaku pada musanna dan jamak kerana kedua-dua tersebut telah pun mempunyai makna lebih jauh apabila digabungkan dengan kaf.

* Apa yang telah saya bawakan di sini adalah penambahan daripada yang biasa kita dengar. Tiada masalah untuk tidak berpegang dengan apa yang telah ditambah di sini jika ia mengelirukan. Tujuan saya membentangkan perkara ini adalah untuk sekadar pengenalan dan pemberitahuan bahawa terdapat banyak lagi isim isyarah yang masih lagi jarang kita dengar. Namun sudah memadai dengan berpegang kepada asas yang kita pelajari ketika di sekolah dahulu iaitu 8 asas utama Isim Isyarah : (هذا ، هذه ، ذلك ، تلك ، ذانك ، تانك ، هولاء ، أولاءك ).

والله أعلم

disediakan oleh : Muhammad Hosnee bin Zainal Abidin

Tuesday, May 27, 2008

At-Tuhfah As-Saniah : Bab Jenis-Jenis Kalam

[Jenis-jenis Kalam]

Berkata Ibnu Ajurrum:


(واقسامه ثلاثة : اسم ، وفعل ، وحرف جاء لمعنى)


Adapun kalam itu terbahagi ianya kepada 3 : isim (kata nama), feel (kata kerja), dan harf (huruf) yang datang dengan makna.


Berkata Syeikh Muhammad Mahyuddin: Lafaz-lafaz yang telah digunakan oleh orang Arab dalam kalam mereka yang mana ianya disampaikan dan dipindahkan kepada kita, adalah kita sekarang ini sedang membicarakannya dalam perbualan-perbualan serta pembelajaran kita sehari-hari. Kita membacanya dalam kitab-kitab kita. Kita juga menulis dengannya kepada ahli keluarga kita, sahabat-sahabat kita, bahkan boleh dikatakan tidak terkecuali seorangpun daripada menggunakan salah satu daripada 3 unsur kalam ini iaitu: isim, feel dan harf.


Isim itu jika diperbincangkan maknanya daripada sudut bahasa adalah: apa-apa yang menunjuk kepada satu objek yang diberi nama. Jika dibincangkan ertinya daripada sudut istilah para Ulama Nahu pula membawa maksud: suatu kalimah yang menunjukkan makna pada identity dirinya sendiri serta ianya tidaklah dikaitkan dengan had masa. Seperti contoh:


محمد (Muhammadun)

على (Aliyyun)

رجل (rajulun – seorang lelaki)

جمل (jamalun – unta)

نهر (nahrun – siang)

تفاحة (tuffahatun – epal)

ليمونة (laimunatun – lemon)

عصا (ason – tongkat)


maka setiap daripada contoh yang tersebut diatas menunjukkan atas makna diri masing-masing dan tiadalah dihadkan masa-masa tertentu yang menyertai isim tersebut pada maknanya. Maka jadilah ia sebagai isim.


Adapun feel itu pula jika ditakrifkan dari segi bahasa membawa erti: satu peristiwa. Jika ditakrifkan dari segi istilah Ulama Nahu pula membawa pengertian: suatu kalimah yang menunjukkan makna pada identity dirinya sendiri serta ianya dikaitkan dengan salah satu daripada 3 had masa iaitu – yang telahpun berlaku, yang sedang berlaku mahupun yang akan berlaku dimasa akan datang. Contohnya:


كتب (kataba – dia telahpun menulis) sesungguhnya ia adalah kalimah yang menunjukkan makna pada dirinya sendiri iaitu perbuatan menulis itu sendiri. Dan makna ini disertakan pula dengan had masa iaitu perbuatan menulis ini telahpun berlaku.


يكتب (yaktubu – dia sedang menulis atau akan menulis) kalimah ini menunjukkan makna pada dirinya juga iaitu perbuatan menulis itu juga. Dan makna ini juga disertakan dengan had masa iaitu perbuatan menulis ini sedang atau akan berlaku.


اكتب (uktub – tulislah) ia adalah kalimah yang menunjukkan makna pada dirinya juga iaitu perbuatan menulis juga. Dan maknanya disertakan dengan had masa iaitu perbuatan menulis ini akan berlaku di masa akan datang iaitu di zaman selepas berlakunya percakapan ataupun suruhan itu.

Contoh lain bagi lafaz-lafaz seperti ini:


نصر - ينصر- انصر (nasara – yansuru – unsur) (dia telah membantu – dia sedang membantu – bantulah)

فهم – يفهم – افهم (fahima – yafhamu – ifham) (dia telah faham – dia sedang faham – fahamlah)

علم – يعلم – اعلم (alima – ya’lamu – i’lam) (dia telah tahu – dia sedang tahu – ketahuilah)

جلس – يجلس – اجلس (jalasa – yajlisu – ijlis) (dia telah duduk – dia sedang duduk – duduklah)

ضرب – يضرب – اضرب (dharaba – yadhribu – idhrib) (dia telah memukul – dia sedang memukul – pukullah)


Feel itu pula terbahagi kepada 3 jenis: Madi (yang telah berlaku), Mudhari’ (yang sedang atau akan berlaku), Amar (suruhan)


Adapun madi itu bermaksud: apa yang menunjukkan peristiwa yang berlaku pada masa sebelum berlakunya percakapan. Contohnya:


كتب (kataba - dia telah menulis)

فهم (fahima - dia telah faham)

خرج (kharaja - dia telah keluar)

سمع (sami’a - dia telah mendengar)

ابصر (absoro - dia telah melihat)

استغفر (istaghfara - dia telah memohon ampun)

اشترك (ishtaraka - dia telah menyertai)


Adapun mudarik itu pula bermaksud: apa yang menunjukkan peristiwa yang berlaku pada masa berlakunya percakapan ataupun yang berlaku selepasnya. Contohnya:


يكتب (yaktubu - dia sedang atau akan menulis)

يفهم (yafhamu - dia sedang atau akan faham)

يخرج (yakhruju - dia sedang atau akan keluar)

يسمع (yasma’u - dia sedang atau akan mendengar)

ينصر (yansuru - dia sedang atau akan membantu)

يتكلم (yatakallamu - dia sedang atau akan bercakap)

يستغفر (yastaghfiru - dia sedang atau akan memohon ampun)

يشترك (yashtariku - dia sedang atau akan menyertai)


Manakala amar pula bermaksud: apa yang menunjukkan peristiwa yang dituntut untuk melakukannya selepas berlakunya percakapan. Contohnya:


اكتب (uktub – tulislah)

افهم (ifham – fahamilah)

اخرج (ukhruj – keluarlah)

اسمع (isma’ – dengarlah)

انصر (unsur – tolonglah)

استغفر (istaghfir – minta ampunlah)

اشترك (ishtarik – sertailah)


Huruf pula jika dibincangkan maknanya dari sudut bahasa adalah bermaksud: tepi. Dan maksudnya dari segi istilah yang telah diletakkan oleh Ulama Nahu pula adalah: suatu kalimah yang membawa makna hanya jika disertakan bersama dengan kalimah lain. Contohnya:


من (min) ia adalah satu lafaz yang menunjukkan makna iaitu permulaan. Dan makna ini tidaklah lengkap sehinggalah dikumpulkan bersamanya kalimah lain. Maka kamu akan mengatakan seperti contoh:


ذهبت من البيت (zahabtu minal bait – aku telah pergi bermula dari rumah)


Contoh-contoh isim:


كتاب (kitabun - buku(

قلم (qalamun - pen)

دواة (dawatun – bekas dakwat)

كراسة (kurrasatun – buku tulis)

جريدة (jaridatun – suratkhabar)

خليل (Khalil)

صالح (Solih)

عمران (Imran)

ورقة (waraqatun – kertas)

سبع (sabu’un – seekor binatang buas)

حمار (himarun – keldai)

ذئب (zi’bun – serigala)

فهد (fahdun – harimau bintang)

نمر (namirun – harimau)

ليمونة (laimunatun – lemon)

برتقالة (burtuqalatun – oren)

كمثراة (kummathratun – buah pear)

نرجسة (narjisatun – bunga narcisus)

وردة (wardatun – bunga mawar)

هؤلاء (ha’ula’i – semua ini)

انتم (antum – kamu semua)


Contoh-contoh feel:

سافر يسافر سافر (safara – yusafiru – safir) (dia telah bermusafir – dia sedang bermusafir – bermusafirlah)

قال يقول قل (qala – yaqulu – qul) (dia telah berkata – dia sedang berkata – katalah)

أمن يأمن إيمن (amina – ya’manu – iman) (dia telah percaya – dia sedang percaya – percayalah)

رضي يرضى ارض (radhiya – yardha – ardha) (dia telah meredhai – dia sedang meredhai – redhalah)

صدق يصدق اصدق (sadaqa – yasduqu – usduq) (dia telah benar – dia sedang benar – benarlah)

اجتهد يجتهد اجتهد (ijtahada – yajtahidu – ijtahid) (dia telah bersungguh-sungguh – dia sedang bersungguh-sungguh – bersungguh-sungguhlah)

استغفر يستغفر استغفر (istaghfara – yastaghfiru – istaghfir) (dia telah memohon ampun – dia sedang memohon ampun – memohon ampunlah)


Contoh-contoh harf:

من daripada

الى kepada

عن tentang

على atas

إلا kecuali

لكن tetapi

إن (inna) sesungguhnya

أن (an) bahawa

بلى ya

بل bahkan

قد telah

سوف akan

حتى sehingga

لم tidak

لا tidak

لن tidak sekali-kali

لو kalau

لما ketika @ belum

لعل moga-moga

ما apa

لات tidak @ tiada

ليت harap-harap

إن (in) kalau

ثم kemudian

او atau

At-Tuhfah As-Saniah : Bab Kalam

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Telah berkata pengarang matan Al-Ajrumiah iaitu Abu Abdillah bin Muhammad bin Daud As-Sonhaji yang lebih dikenali dengan gelaran Ibnu Ajurrum. Beliau dilahirkan pada tahun 672H dan meninggal pada tahun 723H. Semoga Allah Taala Merahmatinya.


Berkata Ibnu Ajurrum:


(الكلام هو اللفظ المركب المفيد بالوضع)


Kalam itu adalah suatu lafaz yang terdiri daripada beberapa kalimah yang membawa faedah dan telah diletakkan kaedahnya dalam bahasa Arab.


Berkata Syeikh Muhammad Mahyuddin Abdul Hamid pengarang kitab Tuhfatussaniah syarah kepada matan Al-Ajrumiah: lafaz (kalam) itu membawa kepada dua makna. yang pertama dari segi bahasa dan yang kedua dari segi nahu.


Kalam dari segi bahasa adalah satu ibarat tentang apa yang kamu akan dapat faedah disebabkan olehnya. samada ianya adalah berbentuk lafaz, ataupun bukan lafaz seperti garisan, tulisan dan isyarat.*


*Jika seseorang mengatakan kepada kamu: adakah kamu telah mendatangkan kepada aku kitab yang telah aku minta ianya daripadamu? Maka kamu akan mengisyaratkan kepadanya dengan menganggukkan kepalamu. Maka isyarat tersebut difahami bahawasanya kamu mengatakan kepadanya (naam) (ya)


Adapun kalam dari segi nahunya adalah tidak boleh tidak ianya mestilah disertai padanya 4 perkara:

1. Ia mestilah merupakan sebuah lafaz.
2. Ia mestilah 'murakab' - terdiri daripada dua perkataan atau lebih.
3. Ia mestilah memberi faedah.
4. Ia mestilah telah diletakkan kaedah dengan kaedah Arab


Apa yang dimaksudkan dengan ianya mestilah merupakan sebuah lafaz: iaitu ia mestilah merupakan suara yang mengandungi gabungan daripada beberapa huruf hija'iyah yang bermula daripada alif dan berakhir dengan ya. contohnya:

(أحمد) (Ahmad),
(يكتب) (yaktubu - dia sedang menulis) ,
(سعيد) (Said)

ketiga-tiga contoh ini apabila disebut menjadikan ia satu suara yang mengandungi 4 huruf hija'iyah. Maka sesuatu isyarat contohnya tidak akan dinamakan sebagai kalam disisi para ulama Nahu kerana ia tidak mengandungi suara atau bunyi yang menggabungkan huruf-huruf hija'iyah tadi. Jika mahu menamakan isyarat tersebut sebagai kalam, perlulah ianya mempunyai faedah yang akan didapati dengannya.


Apa yang dimaksudkan dengan ianya mestilah murakab: iaitu ia mestilah terdiri daripada dua kalimah atau lebih. sebagai contoh:

(محمد مسافر) (Muhammadun musafirun - Muhammad itu adalah seorang yang sedang bermusafir),
(العلم نافع) (al-ilmu nafi'un - ilmu itu adalah sesuatu yang memberi manfaat),
(يبلغ المجتهد المجد) (yablughu al-mujtahidu al-majda - mujtahid itu sampai kemuliaan padanya),
((لكل مجتهد نصييب (likulli mujtahidin nasibun – bagi setiap orang yang berjihad itu ada bahagian masing-masing),
العلم خير ما تسعى إليه ) ) (al-ilmu khairu ma tas’a ilaihi – ilmu itu adalah kebaikan yang kamu usahakan terhadapnya)


Maka setiap contoh yang telah disebutkan diatas dinamakan sebagai kalam. Dan setiap ibarat tersebut ianya terdiri daripada dua kalimah atau lebih. Satu kalimah bersendirian tidak dinamakan sebagai kalam disisi para ulama Nahu kecuali jika disertakan yang lain bersama-samanya; samada ianya disertakan secara haqiqatan seperti contoh-contoh diatas, mahupun yang disertakan secara taqdiran seperti contoh jika seseorang mengatakan kepada kamu: siapa saudara kamu? Maka kamu akan berkata: Muhammad. Maka kalimah yang satu ini dikira sebagai kalam kerana ditaqdirkan ayat sebenarnya: Muhammad itu saudaraku. Yang mana dalam pentaqdiran itu jumlah kalimah sebenar adalah tiga. Maka ia diiktibar sebagai kalam.


Yang dimaksudkan dengan ianya mestilah memberi faedah: iaitu bagusnya tempat berhenti orang yang berkata itu apabila ia diam dihujung kalamnya. Yang mana seorang pendengar itu tidak akan tertunggu-tunggu dengan apakah yang akan dikatakan seterusnya oleh orang yang berkata.
Seperti contoh: jika kamu mengatakan: ((اذا حضر الاستاذ (iza hadara al-ustazu – apabila datang ustaz itu) ia tidak dinamakan sebagai kalam. Walaupun ianya murakab – terdiri daripada 3 kalimah. Ini adalah kerana pendengar yang mendengarkan ucapan tersebut akan ternanti-nanti apakah yang akan dikatakan oleh orang yang berkata tentang apa yang akan berlaku dengan kehadiran ustaz tersebut.


Apabila kamu mengatakan: ((اذا حضر الاستاذ انصت التلاميذ (iza hadara al-ustazu ansota at-talamiz – apabila datang ustaz itu maka pelajar-pelajar pun diam) ianya dikatakan sebagai kalam kerana memberikan faedah.


Yang dimaksudkan dengan ianya mestilah telah diletakkan kaedah dengan kaedah Arab: iaitu lafaz tersebut mestilah digunapakai dalam kalam daripada lafaz-lafaz yang telah diletakkan oleh orang-orang Arab untuk menunjukkan sesuatu makna daripada makna-makna yang mereka maksudkan.


Sebagai contoh:

(حضر) adalah kalimah yang digunapakai oleh orang Arab dalam membawa makna telah datang – telah berlaku sebelumnya.
(محمد) adalah kalimah yang digunapakai oleh orang Arab dalam membawa makna zat seseorang individu yang dinamakan dengan nama tersebut.
Dan jika kamu mengatakan: (حضر محمد) kamu telahpun menggunakan dua kalimah yang mana kedua-duanya telah digunapakai oleh orang Arab.
Terdapat pula perbezaan jika kamu mengatakan dengan kalam yang telah diletakkan ataupun digunapakai oleh orang bukan Arab ataupun a’jam.
Seperti contoh: (الفرس), (الترك), (البربر), (الفرنج) adalah kalimah-kalimah ini tidak dinamakan sebagai kalam disisi ulama Bahasa Arab sebaliknya ia diiktibar sebagai kalam oleh ahli bahasa-bahasa yang lain.


Contoh-contoh kalam yang mencukupi syarat:
(الجو صحو) (al-jawwu sohwun – cuaca cerah tidak berawan)
(البستان مثمر) (al-bustanu muthmirun – kebun itu berbuah)
(الهلال ساطع) (al-hilalu sati’un – anak bulan itu terang benderang)
(السماء صافية) (as-sama’u sofiatun – langit itu bersih cerah)
(يضيء القمر ليلا) (yudi’u al-qamaru lailan – bulan itu menerangi malam)
(ينجح المجتهد) (yanjahu al-mujtahidu – akan berjaya orang yang bersungguh)
(لا يفلح الكسول) (la yuflihul kasul – orang yang sentiasa malas tidak akan berjaya)
(لا اله الا الله) (la ilaha illallah – tiada Tuhan selain Allah)
(محمد صفوة المرسلين) (Muhammadun sofwatul mursalina – Muhammad itu Rasul pilihan)
(الله ربنا) (Allahu Rabbuna – Allah itu Tuhan kami)
(محمد نبينا) (Muhammadun Nabiyyuna – Muhammad itu Nabi kami)


Contoh-contoh lafaz mufrad:
(محمد) (Muhammad)
(علي) (Ali)
(ابراهيم) (Ibrahim)
(قام) (Dia telah berdiri)
(من) (daripada)


Contoh-contoh lafaz murakab yang tidak membawa faedah:
(bandar iskandariah) (مدينة الاسكندرية)
(hamba Allah) (عبد الله)
(Hadaramaut - nama tempat) (حضرموت)
(jika manusia berlaku adil) (لو انصف الناس)
(apabila datang musim sejuk) (اذا جاء الشتاء)
(bagaimanapun orang yang bermuka-muka itu menyembunyikan) (مهما اخفى المرائي)
(إن طلعت الشمس)
(jika terbit matahari)

At-Tuhfah As-Saniah : Muqaddimah

InsyaAllah ruangan tutorial Nahu Bahasa Arab ini akan dikendalikan oleh Ust Muhammad Fahmi Al-Banjari. Beliau akan menterjemahkan salah sebuah kitab Nahu yang diberi nama "Tuhfatussaniah" syarah kepada matan Al-Ajrumiah karangan Syeikh Muhammad Mahyuddin Abdul Hamid. InsyaAllah biiznillah ruangan ini akan dikemaskini dari masa ke semasa mengikut kelapangan masa penterjemah untuk menterjemah.

[Muqaddimah]
Apa itu Nahu?

Kalimah "Nahu" jika dibincangkan dari segi bahasa dalam Bahasa Arab membawa pelbagai maksud. Antaranya:
1. Nahu membawa maksud arah. Jika kita mengatakan (ذهبت نحو فلان) (zahabtu nahwa fulanin) ia akan membawa maksud aku telahpun pergi kearah si fulan itu.
2. Nahu membawa maksud seperti atau menyerupai. Jika kita mengatakan (محمد نحو علي) (Muhammadun nahwu Aliyyun) ia akan membawa maksud Muhammad itu seperti Ali atau menyerupainya.

Kalimah "Nahu" jika dibincangkan dari segi istilah yang telah diletakkan oleh Ulama dalam Qawaid Bahasa Arab pula adalah (Suatu ilmu tentang kaedah-kaedah yang mana dengan kaedah-kaedah tersebut diketahui hukum-hukum yang perlu diletakkan di setiap akhir kalimah-kalimah dalam Bahasa Arab dari segi susunannya - yang terdiri daripada i'rab dan bina' dan apa2 yang mengikuti keduanya)

Apa tajuk@skop perbincangan ilmu Nahu?

Skop perbincangan ilmu Nahu adalah berkaitan dengan kalimah-kalimah atau perkataan-perkataan dalam Bahasa Arab. Adapun perkataan-perkataan dalam Bahasa Perancis, Bahasa Inggeris, Bahasa Banjar, Bahasa Siam, Bahasa Jawa dan seluruh bahasa lain yang wujud di alam yang fana ini tidaklah diperbincangkan dalam ilmu Nahu.

Apakah faedahnya mempelajari ilmu Nahu?

1. Menjaga lisan daripada tersalah ketika berkata-kata dalam kalam Bahasa Arab.
2. Memahami Al-Quran Al-Karim dan Al-Hadith As-Syarif dengan kefahaman yang sahih. Yang mana kedua-dua ini adalah sumber usul syariah Islamiah dan diatas kedua-dua sumber inilah terdirinya syariah Islamiah tersebut.

Kepada apakah dinisbahkan ilmu Nahu ini?

Ilmu Nahu ini dinisbahkan ianya salah satu daripada ilmu-ilmu Bahasa Arab.

Siapakah pengasas ilmu Nahu?

Terdapat banyak pendapat yang meriwayatkan tentang siapakah yang dikatakan sebagai pengasas ilmu Nahu. Namun, pendapat yang paling masyhur bagi yang terawal sekali yang mengasaskan ilmu Nahu adalah Abu Aswad Ad-Du'ali setelah diarahkan penyusunan ilmu tersebut oleh Amirul Mukminin Saidina Ali bin Abi Talib Radhiallahu Anhuma.

Apakah hukum mempelajari ilmu Nahu?

Adapun mempelajari ilmu Nahu itu hukumnya adalah fardu kifayah. akan tetapi jika seorang sahaja yang tinggal untuk mempelajarinya maka ianya akan jatuh pada hukum fardu ain pula baginya.

Home

Welcome to Kalghari Nahu Tutorials
Selamat Mempelajari Ilmu Nahu!