Tuesday, May 27, 2008

At-Tuhfah As-Saniah : Muqaddimah

InsyaAllah ruangan tutorial Nahu Bahasa Arab ini akan dikendalikan oleh Ust Muhammad Fahmi Al-Banjari. Beliau akan menterjemahkan salah sebuah kitab Nahu yang diberi nama "Tuhfatussaniah" syarah kepada matan Al-Ajrumiah karangan Syeikh Muhammad Mahyuddin Abdul Hamid. InsyaAllah biiznillah ruangan ini akan dikemaskini dari masa ke semasa mengikut kelapangan masa penterjemah untuk menterjemah.

[Muqaddimah]
Apa itu Nahu?

Kalimah "Nahu" jika dibincangkan dari segi bahasa dalam Bahasa Arab membawa pelbagai maksud. Antaranya:
1. Nahu membawa maksud arah. Jika kita mengatakan (ذهبت نحو فلان) (zahabtu nahwa fulanin) ia akan membawa maksud aku telahpun pergi kearah si fulan itu.
2. Nahu membawa maksud seperti atau menyerupai. Jika kita mengatakan (محمد نحو علي) (Muhammadun nahwu Aliyyun) ia akan membawa maksud Muhammad itu seperti Ali atau menyerupainya.

Kalimah "Nahu" jika dibincangkan dari segi istilah yang telah diletakkan oleh Ulama dalam Qawaid Bahasa Arab pula adalah (Suatu ilmu tentang kaedah-kaedah yang mana dengan kaedah-kaedah tersebut diketahui hukum-hukum yang perlu diletakkan di setiap akhir kalimah-kalimah dalam Bahasa Arab dari segi susunannya - yang terdiri daripada i'rab dan bina' dan apa2 yang mengikuti keduanya)

Apa tajuk@skop perbincangan ilmu Nahu?

Skop perbincangan ilmu Nahu adalah berkaitan dengan kalimah-kalimah atau perkataan-perkataan dalam Bahasa Arab. Adapun perkataan-perkataan dalam Bahasa Perancis, Bahasa Inggeris, Bahasa Banjar, Bahasa Siam, Bahasa Jawa dan seluruh bahasa lain yang wujud di alam yang fana ini tidaklah diperbincangkan dalam ilmu Nahu.

Apakah faedahnya mempelajari ilmu Nahu?

1. Menjaga lisan daripada tersalah ketika berkata-kata dalam kalam Bahasa Arab.
2. Memahami Al-Quran Al-Karim dan Al-Hadith As-Syarif dengan kefahaman yang sahih. Yang mana kedua-dua ini adalah sumber usul syariah Islamiah dan diatas kedua-dua sumber inilah terdirinya syariah Islamiah tersebut.

Kepada apakah dinisbahkan ilmu Nahu ini?

Ilmu Nahu ini dinisbahkan ianya salah satu daripada ilmu-ilmu Bahasa Arab.

Siapakah pengasas ilmu Nahu?

Terdapat banyak pendapat yang meriwayatkan tentang siapakah yang dikatakan sebagai pengasas ilmu Nahu. Namun, pendapat yang paling masyhur bagi yang terawal sekali yang mengasaskan ilmu Nahu adalah Abu Aswad Ad-Du'ali setelah diarahkan penyusunan ilmu tersebut oleh Amirul Mukminin Saidina Ali bin Abi Talib Radhiallahu Anhuma.

Apakah hukum mempelajari ilmu Nahu?

Adapun mempelajari ilmu Nahu itu hukumnya adalah fardu kifayah. akan tetapi jika seorang sahaja yang tinggal untuk mempelajarinya maka ianya akan jatuh pada hukum fardu ain pula baginya.

0 comments: